Mengkaji aspek hak asasi manusia yang terkandung dalam Piagam Madinah
Untuk melihat Piagam Madinah sebagai sebuah deklarasi hak manusia yang moden sifatnya
i) Politik
- Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin negara. Di mana masyarakat sudah mengiktiraf bahawa Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara yang menentukan perjalanan pentadbiran negara supaya apa yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam dan tidak melanggar peraturan (Roziah, 2004: 9).
- Rasulullah S.A.W sebagai hakim yang menyelesaikan masalah yang timbul di antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Segala hukum dan peraturan telah ditetapkan dan jika sesiapa yang melanggar peraturan maka hukuman setimpal akan diterimanya. Hal ini untuk membuktikan keadilan seorang pemimpin dalam mentadbir sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai masyarakat (Mahayudin t.th.: 118).
ii) Agama
- Masyarakat Madinah bebas mengamalkan agama masing-masing. Hal ini kerana Madinah terdiri daripada lain-lain agama dan mereka tidak terikat untuk menjalankan kebudayaan kehidupan mereka selagi tidak bertentangan dengan agama (Abdul Rahman 2007: 92). Ini merupakan langkah bijak yang diambil oleh Rasulullah S.A.W untuk menyatupadukan rakyat yang sebelumnya hidup dalam kegelapan dan kucar-kacir. Hal sedemikian telah disebut dalam Fasal 25 :
“bahawa kaum Yahudi dari Bani ‘Auf adalah satu umat bersama
orang-orang beriman, mereka (orang Yahudi) dengan agama mereka dan kaum Muslimin
dengan agama mereka, begitu juga dengan orang-orang yang bersekutu dengan mereka,
kecuali orang-orang yang zalim dan berbuat dosa maka hal ini akan menimpa diri
dan keluarga mereka”.
iii) Sosial
- Masyarakat Madinah dianggap sebagai satu ummah dan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap negara Madinah. Selain itu mereka juga tidak boleh bermusuhan di antara satu sama lain. Orang-orang Islam di Madinah bebas berhimpun dan bermesyuarat untuk membincangkan masalah politik dan pentadbiran negara. Secara tidak langsung, membentuk negara Islam di Madinah. Piagam ini juga telah mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat Madinah bahawa mereka adalah satu masyarakat yang kuat dan bersatu padu dan Madinah adalah milik mereka (Mahayudin t.th: 116). Fasal 13 ada menyatakan perkara ini iaitu:
“bahawa orang-orang beriman lagi bertakwa, mestilah mencegah
sesiapa yang melakukan kezaliman, pelanggaran kesusilaan, dosa perseteruan atau
kerosakan di kalangan orang-orang yang beriman, dan mereka hendaklah bersatu
menentang orang-orang tersebut meskipun orang itu anak salah seorang daripada
mereka."
- Perpaduan umat Islam. Piagam Madinah menyeru semua masyarakat di Madinah agar hidup dalam keadaan bekerjasama dan bersatu padu. Masyarakat Islam Madinah terdiri daripada golongan Ansar dan Muhajirin (Al-Mubarakfury, t.th: 232). Selain itu, terdapat pelbagai kaum yang lain seperti Quraisy, Parsi, Yahudi dan lain-lain. Oleh itu, masyarakat majmuk ini disatukan melalui Piagam Madinah untuk mengelakkan persengketaan. Persaudaraan Islam bertujuan untuk menjalin dan mengeratkan hubungan persahabatan sesama Islam tanpa mengira kaum dan tempat tinggal. Persaudaraan Islam adalah suatu sikap dan tindakan yang lahir daripada jiwa dan hati manusia yang terikat dengan akidah keimanan kepada Allah s.w.t dan rasul-Nya (Abdul Rahman 2007: 93).
iv) Perundangan
- Undang-undang Islam diguna pakai secara menyeluruh tetapi peraturan kekeluargaan di dalam sesebuah kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Jika terdapat perselisihan faham terhadap sesuatu masalah akan terus merujuk kepada Rasulullah s.a.w bagi mengelakkan tokok tambah atau tafsiran yang negatif terhadap sesuatu perkara itu. Baginda (Roziah, 2004: 9). Hal ini kerana segala peraturan tersebut adalah berlandaskan kepada al-Qur‟an dan as-Sunnah. Dalam Fasal 23 menyatakan:
“dan jika kamu bertelagah dan berselisih pendapat tentang
sesuatu perkara maka kamu hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Nabi
Muhammad s.a.w”.
v) Ekonomi
- Samping itu, kekayaan juga dibahagi sama Kerjasama di antara masyarakat Madinah dituntut demi memajukan ekonomi negara dan segala unsur-unsur penipuan dapat dihapuskan dalam sistem perniagaan. Piagam Madinah menetapkan persamaan antara semua penduduk tanpa mengira keturunan, bangsa, pemerintah dan golongan yang diperintah untuk mengelakkan jurang perbezaan dan penindasan dalam masyarakat. Di samping itu, kekayaan juga dibahagi sama rata di kalangan masyarakat untuk menghindari penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin. Kesamarataan dan keadilan adalah penting untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan kehidupan individu. Tujuan keadilan ini adalah untuk mengelakkan keburukan dan memberikan kebaikan serta hak kepada seseorang individu berlandaskan syariat Islam. Manakala, dalam aktiviti jual beli pula, segala jenis riba adalah di haramkan (Abdul Rahman 2007: 93).
vi) Pertahanan
- Semua anggota masyarakat dikehendaki mempertahankan Madinah daripada ancaman luar. Mereka perlu berganding bahu demi mempertahankan Madinah tidak kira yang beragama Islam atau bukan beragama Islam. Orang Islam sudah menganggap orang Yahudi sebagai warganegara dan ummah bersama orang-orang Islam. Mereka juga tertakluk di bawah Piagam Madinah dan harus menjalankan tanggungjawab yang dikenakan ke atas mereka (Mahayudin t.th.: 122). Termaktub akan hal di atas dalam Fasal 44:
“bahawa hendaklah ada janji bantu-membantu di
antara mereka (orang-orang yang menganggotai sahifah) bagi
mempertahankan Yathrib daripada
serangan-serangan musuh”.
vii) Kedudukan Yahudi
- Keselamatan orang bukan Islam (khususnya Yahudi) terjamin selagi mereka mematuhi Perlembagaan Madinah. Pada mulanya, orang Yahudi berminat ke atas Madinah. Atas kesedaran ini, Piagam Madinah juga menitikberatkan dan menjamin kebebasan kaum Yahudi dan kaum-kaum lain. Cara ini dapat mengelakkan kaum Yahudi menyebarkan agama mereka di Madinah di samping menghindari permusuhan di antara mereka. Mereka yang mematuhi perlembagaan ini akan diberi jaminan perlindungan dan keselamatan (Mahayudin t.th.: 123). Hal ini telah tertulis dalam Piagam Madinah melalui Fasal 47 iaitu:
“bahawa sahifah ini tidak boleh digunakan bagi melindungi
orang-orang zalim dan berdosa
(bersalah), bahawa (dari
saat ini) sesiapa
(di antara anggotanya) keluar dari kota
Madinah atau menetap
didalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim
dan berdosa (bersalah). Sesungguhnya Allah
melindungi orang-orang yang
membuat kebajikan dan bertakwa, dan sesungguhnya Muhammad
adalah Pesuruh Allah”.
Berdasarkan
fasal yang terbentuk
dalam Piagam Madinah
tersebut memberi panduan dan landasan bagi semua
penduduk Madinah untuk
memperoleh sistem perjalanan hidup yang lebih baik tanpa
mengabaikan prinsip-prinsip Islam. Baginda mengaplikasikan konsep
Wasatiyyah melalui
perlembagaan tersebut dengan pendekatan yang adil, seimbang
dan terbaik. Masyarakat yang menganggotainya pula saling bertanggungjawab membangunkan
negara tersebut daripada kepelbagaian aspek tidak kira politik, ekonomi
mahupun sosial. Kesan daripada Piagam Madinah, Nabi Muhammad s.a.w telah dapat
membentuk sebuah negara Islam yang kukuh dan diterima serta dihormati
oleh negara-negara luar. Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya mengembangkan ajaran Islam kepada kabilah-kabilah luar dari Madinah.
No comments:
Post a Comment